Salam 1 Syawal
Saya amat sibuk dan tidak sempat berhari raya. Kehidupan saya sangat tertekan dan terumbang ambing sekarang ini. Thesis Proposal untuk PhD (draft yang kedua) kena hantar hari ini (hari raya), Progress Report dan Electron Microscope Imaging kena hantar hari Khamis. Hari minggu (Sabtu dan Ahad) juga saya terpaksa bekerja di makmal untuk siapkan experiment. Dan saya sangat takut jika tak mampu menyiapkan PhD dalam masa 3 tahun. Namun 1 Syawal adalah hari kemenangan (graduasi) untuk bergembira, maka saya patut luangkan masa untuk coretkan sesuatu yang berguna.
Sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, semoga takwa yang kita bina dapat membina momentum mujahadah untuk 11 bulan yang mendatang. Takwa yang sepatutnya menjauhkan kita dari api neraka dan seksa dunia. Madrasah tarbiah Ramadhan sudah berlalu, maka apakah hasil graduasi kita? Jangan biarkan maaruf Ramadhan tetapi munkar Syawal. Solat maghrib dan terawih berjemaah, tetapi solat subuh bersendirian atau mungkin terlepas. Kita menjalani Ramadhan yang sama, tetapi natijah yang berbeza.
Hari Raya Aidil-Fitri sinomin dengan hari manusia pulang kepada fitrah. Manusia datang (diciptakan) dari Tuhan, dan seharusnya kembali kepada Tuhan. Awal permulaan penurunan wahyu, Tuhan berfirman, "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (al Alaq 96:1-5).
Awal penciptaan manusia, Tuhan mengajar manusia agar mengenali penciptanya (Khalik). Bahkan perkatan iqra' disebutkan 2 kali dalam surah al Alaq, menunjukkan kepentingan ilmu. Apakah ilmu itu? Iaitu ilmu mengenal Tuhan. Imam al Ghazali pernah menyebut, 'ilmu yang bermanfaat adalah ilmu mengenal Tuhan.' Barang siapa yang belajar sesuatu ilmu tetapi tidak mengenal Tuhan, maka sia-sia lah ilmu tersebut. Persoalannya, bagaimana mahu mengenali Tuhan?
Hampir semua orang mengenali Potret Monalisa, magnum opus oleh Leonardo Da Vinda dari Italy. Leonardo Da Vinci mula melukis Potret Monalisa pada tahun 1503 dan siap 16 tahun selepas itu menggunakan cat minyak (oil painting). Potret itu sangat mengkagumkan walaupun Monalisa, wanita dalam potret itu tidaklah secantik Maya Karin atau Lisa Surihani. Tetapi hasil dari tangan Da Vinci telah memakau orang lain dengan lukisan tersebut. Sebelum tahun 1963, insurans untuk Potret Monalisa berharga 100 million US dollar (bersamaan 720 million US dollar pada tahun 2010). Wah, mahal gile. Bukannya Monalisa tu cun pun. Sejak itu, nama Da Vinca selaku pelukis potret itu masyhur ke serata dunia hinggalah sekarang. Da Vinci di agungkan sebagai 4 pelukis terbaik di dunia sekufu dengan Michaelangelo, Raphel dan Donatello. Nama-nama ini diabadikan dalam watak hero Ninja Turtle.
Begitu juga pada penciptaan manusia. Jika manusia kagum pada Da Vinci kerana melukis Potret Monalisa, sepatutnya manusia kagum kepada Pencipta (Khalik) yang mencipta manusia. Itulah pengajaran dari wahyu pertama, Tuhan menciptakan manusia, lalu mengajar manusia mengenali penciptanya selari dengan fitrah manusia. Manusia wajar tercari-cari siapakah penciptanya, apakah tujuan hidupnya, dan ke mana dia pergi selepas ini. Dr Said Ramadan al Butti (menantu kepada Hasan al Banna, ayah kepada Prof. Tariq Ramadhan) mengandaikan manusia sedang menaiki keretapi. Dia disediakan makanan, minimum, bilik air dan kemudahan lain, tetapi sangat aneh jika dia tidak mengetahui destinasi perjalanannya. Dia sepatutnya risau, gusar dan mencari-cari arah tujuannya.
Benar kita mempunyai satu perjalanan yang sangat panjang, tetapi kematian hanyalah di celah-celah kehidupan. Maka ambillah sekadar yang cukup untuk buat bekalan. Kita hidup di dunia ini sebagai seorang perantau. Tidak mungkin seorang perantau akan membawa peti ais, almari, mesin basuh bersamanya ketika merantau. Berat unta tunggangannya memikul beban macam itu sampai tidak dapat bergerak. Mari kita renung kisah Salman al Farisi.
Salman asalnya agama Majusi, kemudian dia murtad kepada agama Kristian kerana dia yakin Kristian lebih baik dari Majusi. Ayahnya sebagai sami kuil Majusi rantai kakinya tetapi kakaknya melepaskan dia. Kemudian dia melihat paderi Kristian yang korup (membolot harta gereja dan pengikutnya). Paderi terakhir berpesan kepadanya agar segera pergi ke Yahtrib kerana akan turun Nabi akhir zaman. Dalam perjalanan dia ke Yahtrib, dia ditangkap oleh Yahudi lalu dijadikan hamba. Allah Taala uji dia dengan begitu berat walaupun dia berusaha keras mencari hidayah. Pendek cerita, dia bertemu dengan Nabi Muhammad, memeluk Islam dan dibebaskan dari hamba.
Salman orang Parsi, dia sebatang kara di Madinah (Yahtrib), tidak ada keluarga, tiada ada harta. Di Madinah dia hanya tidur dibawah pokok sebelum ada sahabat membina rumah untuknya. Dia arkitek dalam Perang Khandak/Ahzab yang memberi cadangan membina parit. Tapi Islam ini sungguh mulia sehingga tidak membezakan bangsa Arab atau Parsi hinggakan Rasulullah SAW selalu cakap, 'Salman ahli keluarga aku'. Dia dikenali dengan nama Salman al Khair (Salman yang baik).
Berbalik pada Syawal yang mulia ini, hari manusia kembali kepada fitrah (minal aidil wafa izin), adalah lebih baik kita renung kembali asal fitrah kita. Siapa Pencipta kita, apa tujuan hidup kita dan ke mana kita selepas ini. Allahu a'lam
4:49 am, 1 Syawal 1432
Christchurch.
No comments:
Post a Comment