
Bismillahir rahman nir rahim
1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,
2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
3. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,
4. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam
5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
Islam sentiasa mementingkan ilmu. Ilmu datang sebelum iman dan amal. Ilmu itu adalah ruh yg melahirkan kefahaman dan membentuk iman, yang menggerakkan amal dan menjana keikhlasan. Imam al Ghazali pernah berkata ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang membawa kita mengenal Tuhan. Sesuai dengan turunnya ayat di atas, suruhan agar manusia mengenali Tuhan yang menciptakannya dan memerhatkan asal penciptaan manusia. Pada kedua-duanya terdapat ibrah (pengajaran) yang sangat besar untuk mengukuhkan keimanan.
Mengapa perlu berilmu? Apa pentingnya berilmu? Kesalahan-kesalahan dalam menuntut ilmu.
Kesilapan yang banyak berlaku dikalangan manusia ialah mereka mencari ilmu supaya dapat berdiri lebih tinggi daripada orang lain. Masakan tidak, al Quran menjelaskan bahawa orang yang berilmu dimuliakan Allah beberapa darjat. "niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (al Mujadalah 58:11). Kemuliaan orang yang berilmu untuk diangkat darjatnya bukanlah hak setiap manusia berilmu sebaliknya itu adalah hak dan rahmat Allah. Allah meninggikan darjat sesiapa yang dikehendaki.
Ini kerana dalam ayat yang lain, al Quran menjelaskan tentang peranan sebenar ilmu kepada manusia. '(Ibrahim berdoa): "Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang saleh,' (as Syu'ara 26:83). Ilmu sepatutnya dapat membawa manusia menjadi seorang yang soleh, yang taat kepada Tuhannya dalam setiap perkara. 'Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah hamba-hambanya yang berilmu.' (al Fatir 35:28). Ini hakikat sebenar ilmu - membawa manusia mengenali Tuhan dan sujud (taat) kepada-Nya.
Bahkan sesetengah cendiakawan Islam berkata tinta para ulama adalah setaraf dengan darah para syuhada, dengan jelas menggambarkan betapa pentingnya ilmu. Cendiakawan Islam kontemporari, Prof. Tariq Ramadan berkata, 'Beribadatlah kepada Allah dan gunakan ilmu supaya dapat beribadat kepada-Nya dengan lebih baik. Jangan hanya obses dengan (mencari) ilmu dan menghormati ulama hingga terlupa yang patut dihormati pertama sekali ialah Allah.' Kita bukanlah hamba ilmu, bukan juga hamba ulama, tetapi kita adalah hamba Allah. Kita tidak disuruh mencari ilmu untuk mendapat pujian dari masyarakat atau untuk menjadi rujukan kepada orang ramai tetapi untuk beribadah kepada Allah dengan lebih baik.
Semakin kita berilmu, semakin kita bertakwa. Bahkan jika kita mahu menambah lagi ilmu, maka al Quran menyuruh kita agar bertakwa. Disinilah berlakunya interaksi dua hala. Peringkat pertama - berilmu, kemudian bertakwa. Peringkat kedua - bertakwa, kemudian berilmu. 'Dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu;' (al Baqarah 2:282). Ilmju itu adalah milik Allah dan Dia mengajarkannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Maka bertakwalah kepada Allah agar Dia mengajarkan kepada kita ilmu yang bermanfaat.
Ilmu selalu disinonimkan dengan cahaya. Ia seumpama cahaya yang menerangi seluruh kegelapan sehingga kegelapan itu hancur dan tidak akan kembali lagi selagi ilmu itu masih padanya. 'Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki,' (an Nur 24:35). Mereka yang mencari ilmu berdiri di atas landasan kebenaran dan menerangi laluan itu dengan cahaya kebenaran sehingga dia tidak akan sesat di sepanjang laluan itu. Semoga penghujung hidup kita adalah husnul khotimah dan dijauhkan kita dari mati dalam kegelapan.
Mat Rock,
10:34 pm, 23 Oct 2011
No comments:
Post a Comment