Manusia sering kali jatuh dan berputus asa. Itu kerana pada diri manusia terdapat kelemahan dan kekurangan. Maka dijadikan fitrah manusia untuk bergantung kepada sesuatu yang lebih kuat dan bijaksana. Asy Syahid Sayyid Qutb (pengarang tafsir Fi Zilal al Quran) berkata, 'manusia itu mempunyai pancaindera ke-6 (the sixth sense) iaitu pancaindera kehambaan yang menjadikan mereka hamba. Sama ada hamba kepada Tuhan Rabbul A'lamin, harta, kuasa, nafsu atau ideologi (sekular, komunis, liberal).'
Ketika hati resah, jiwa gelisah, itulah masa yang tepat untuk kembali kepada Allah, Maha Pencipta (Khalik), menumpang teduh kasih dan nikmat-Nya. Kata Dr. Asri, 'Tuhan lebih senang dijumpai dalam derita.' Yang menjadi masalah ialah apabila kita tidak menaruh sepenuh harapan kepada Allah untuk menguruskan urusan kehidupan kita. Lalu sikap ini terbawa-bawa kepada malas berusaha dan susah untuk percaya. Seakan-akan kita ragu-ragu untuk mempercayai Tuhan menguruskan urusan setiap insan dan natijahnya.
Ummul Kitab yang dibaca 17 kali sehari mengingatkan kita bahawa Allah adalah Rabb (Alhamdulillahi rabbil a'lamin), yang memelihara dan mengurus dengan sempurna hal-hal seluruh alam. Perkatan Rabb jika dilihat secara sempurna bermaksud, yang mencipta, mendidik, memelihara, menyembuh, melengkapkan dan menjadikan sesuatu dengan sempurna dan menguruskannya dengan baik sekali. Sifat ar Rahman Allah menyatakan bahawa Allah Maha Pemurah dengan memberikan setiap benda akan haknya tanpa mengira dia Muslim atau tidak. Inilah tauhid yang ditegaskan dalam kalimah La ila ha illallah (tiada Tuhan selain Allah).
Justeru bila sesuatu yang mendukacitakan/mengecewakan berlaku kepada kita, Allah adalah tempat kembali yang terbaik. Banyak masalah dan kesedihan dapat kita luahkan kepada manusia, tetapi belum tentu respon mereka akan menyenangkan/membahagiakan. Kerana sakinah (kebahagiaan) adalah perasaan yang Allah campakkan ke dalam hati manusia. Bahkan, hati manusia yang sering berbolak-balik dipegang oleh Allah.
اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
Wahai Tuhan yang memegang hati, tetapkanlah hati kami pada ketaatan (dalam agama) terhadap-Mu.
Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku. [Toha 20:14]
Kecewa membawa kita kepada Tuhan, membawa kita kepada pengurus kehidupan, jiwa insan, penyembuh dukacita dan pemberi bahagia. Ingat, Allah itu pengurus dan pentadbir seluruh alam ini. Jika alam yang sebesar itu pun Allah mampu jaga, takkan manusia yang sekerdil ini Allah tidak mampu jaga.
Sesungguhnya, penciptaan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahui. [Ghafir/Mu'min 40:57]
Umar Abdul Aziz ketika wafat ditanya oleh seseorang, 'apakah wasiat yang engkau tinggalkan kepada anak-anakmu?'. Beliau menjawab, 'hanya sejumlah wang yang sedikit. Tetapi sekiranya anak-anak aku adalah orang yang soleh, nescaya Allah akan menguruskan urusan mereka dengan baik.' Selepas Umar Abdul Aziz wafat, anak-anaknya menjadi kaya raya seperti yang didoakan oleh Umar Abdul Aziz. Allah menguruskan manusia dan hajat orang-orang soleh.
Remember Rabb, The Sustainer.

No comments:
Post a Comment