Story teller

My photo
Bertaqwalah kepada Allah, dan Allah akan ajar kamu segalanya

Tuesday, January 25, 2011

(21) Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?


Barangkali sudah menjadi fitrah bahawa manusia ini selalu melebihkan kufur dari syukur. Atas sifir inilah manusia menderita. Menderita kerana tidak bersyukur. Kita lebih suka melihat kekurangan yang ada daripada menghargai apa yang sudah ada.

Hari ini cuba kita letakkan tangan pada dada dan kata, "Terima kasih Ya Allah kerana tidak mendatangkan sakit jantung kepada aku."

Esok pula kita letakkan tangan di atas kepala dan kata, "Terima kasih Ya Allah kerana tidak mendatangkan kanser otak kepada aku."

Hari berikutnya kita pegang kaki dari peha hingga ke tapak kaki dan kata, "Terima kasih Ya Allah kerana tidak menjadikan aku tempang."

Disaat ribuan manusia menghidap penyakit jantung lalu mati, ketika ramai manusia hanya menunggu ajal setelah menghidap kanser otak, dan ratusan manusia terpaksa menggunakan kerusi roda, pernahkan kita terfikir untuk menghargai kehidupan yang dibekalkan dengan segala keperluan asas? Kita sibuk mengejar kekayaan, mengejar pangkat dan jawatan lalu lupa menghargai nikmat Tuhan.

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim 14:7)


No comments: