
Kekecewaan adalah lumrah hidup. Manusia yang tidak pernah kecewa tidak akan merasai manisnya kebahagiaan. Kekecewaan tidak dapat dihindarkan. Kekecewaan, jika dimanipulasikan secara baik mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan dan kebahagiaan. Jika kekecewaan tidak dapat dihindari, lalu bagaimana memanipulasikan kekecewaan?
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al Baqarah 2:216)
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (al Baqarah 2:286).
Kunci pertama kepada kebahagiaan ialah husnu zhon (bersangka baik). Dan husnu zhon yang terbaik adalah husnu kepada Allah kerana Allah yang menciptakan manusia dan semestinya Allah mengetahui kelemahan dan kekuatan hambanya. Apabila manusia sentiasa bersangka baik dengan Tuhannya, kita dapat menghilangkan perasaan sedih, kecewa dan putus asa.
Ujian yang datang disambut sebagai tarbiah dari Allah untuk memantapkan keimanan. Sebagaimana dinar emas yang bernilai perlu dilebur dan ditempa dari jongkong emas untuk dibentuk menjadi dinar yang berharga, begitulah manusia. Manusia dibentuk melalui mehnah dan tribulasi yang dihadapinya. Bahagia hanya datang setelah kita menyingkirkan perasaan sedih, kecewa dan putus asa.
Kunci kedua kepada kebahagiaan ialah qana'ah (merasa cukup) dengan apa yang ada. Rasa cukup dengan apa yang ada akan melahirkan sifat bersyukur, zuhud dan tawaduk. Manusia menderita bukan kerana kekurangan diri tetapi kerana tidak menikmati dan menghargai kelebihan diri. Dia terlalu memandang kekurangan dirinya sehingga kekurangan itu menghantui seluruh hidupnya dan emosinya tidak stabil. Mengapa dia tidak melihat kelebihan dirinya dan memanipulasikan kelebihan itu untuk memajukan kehidupannya?
Prof. Stephen Hawking lumpuh pada umurnya 21 tahun ketika menyambung PhD di University of Cambridge. Dan dia hampir-hampir mati disebabkan ASL (motor neuron disease) pada tahun-tahun berikutnya namun dia ditakdirkan hidup lebih daripada 42 tahun daripada apa yang dijangka oleh doktornya.
Dalam temubual bersamanya, Hawking menjelaskan hidupnya semakin gembira selepas dia lumpuh kerana ketika itu dia menghargai setiap saat dalam hidupnya. Penyakit ASL menjadikan otaknya berfungsi lebih ligat dan pintar dari sebelumnya sehingga dia dilantik oleh University of Cambridge sebagai Lucassian Professor of Mathematics (jawatan yang pernah disandang oleh Isaac Newton dan Paul Dirac). Teori-teorinya tentang lohong hitam (black holes) dan graviti menjadi sumbangan besar dalam astrofizik dan kosmologi.
Kekurangan bukanlah halangan. Mehnah dan tribulasi bukanlah kesengsaraan yang mengundang kekecewaan. Manusia dapat mencapai kebahagian melalui dua sifat ini, husnu zhon dan qana'ah.
Kata Tuhan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih (Ibrahim 14:7)
No comments:
Post a Comment